Saya dilahirkan dalam sebuah rumah yang penghuninya beragama Kristian.
Diajar bahawa tuhan itu wujud, tetapi kita tidak ada hubungan secara
langsung dengan tuhan.
Lantas kita perlu mewujudkan satu cara untuk menghubunginya, iaitu
melalui Jesus. Dan apabila mereka mengatakan yang tuhan itu tiga, saya
menjadi lebih bingung tetapi saya tidak mampu membantah atau
membahaskannya.
Namun, sedikit demi sedikit, saya mendapati diri semakin jauh daripada pendidikan yang berbentuk agama ini.
Saya mula mencipta muzik dan mahu menjadi seorang bintang terkenal. Akhirnya, saya berjaya menjadi seorang yang sangat terkenal.
Pada waktu itu, saya berusia belasan tahun tapi nama dan gambar terpampang di semua bentuk media.
Mereka membuat saya lebih besar dan kerana itu saya juga mahu hidup
dengan cara yang lebih besar daripada hidup yang sebenarnya, dan
satu-satunya cara untuk mendapatkannya ialah dengan menikmati arak dan
dadah.
Selepas setahun berjaya menikmati kemewahan dan hidup secara high, saya sakit teruk dijangkiti penyakit TB dan perlu dirawat di hospital.
Kemudian, tiba satu ketika apabila saya rasa agama Buddha itu nampak
baik dan mulia, tetapi saya masih belum bersedia menjadi seorang sami
Buddha dan memisahkan diri daripada masyarakat sepenuhnya.
Saya mencuba pula Zen dan Ching, numerologi, kemudian kad-kad pakau dan
astrologi. Saya cuba membuka semula kitab Bible tetapi tidak menjumpai
apa-apa. Pada waktu itu, saya masih tidak tahu sesuatupun tentang Islam.
Titik Permulaan
Kemudian satu keajaiban berlaku. Abang saya melawat sebuah masjid di
Jerusalem. Dia begitu kagum dengannya. Masjid itu dirasakan penuh dengan
kehidupan (tidak seperti gereja-gereja dan rumah-rumah biara yang
dirasakan kosong), aman dan tenang.
Dia memberikan saya senaskah terjemahan al-Quran yang dibawanya dari
sana. Dia tidak pula menjadi seorang Muslim tetapi dia dapat merasakan
yang ada sesuatu dalam agama itu, dan dia fikir mungkin saya akan
menjumpai sesuatu juga.
Apabila saya terima kitab itu, saya mendapat petunjuk yang bakal
menerangkan segala-galanya kepada saya - siapa diri saya, apakah tujuan
hidup di dunia, apakah sebenarnya hakikat hidup dan apakah hakikat yang
akan berlaku, dan di mana saya datang. Saya sedar bahawa inilah agama
yang benar; agama yang bukan dalam erti kata yang difahami oleh Barat,
bukan agama yang hanya berguna untuk masa tua anda.
Perkara pertama yang ingin saya lakukan pada waktu itu ialah menjadi seorang Muslim.
Pada tahap ini juga, saya mula menemui keyakinan. Saya merasakan sudah
pun menjadi seorang Muslim. Apabila saya membaca kitab al-Quran itu,
barulah saya sedar bahawa kesemua para nabi yang diutus Allah itu
membawa ajaran yang sama.
Lantas, mengapakah penganut Kristian dan Yahudi saling tidak sefahaman?
Sekarang saya tahu bagaimana orang Yahudi tidak mahu menerima Jesus
sebagai utusan Tuhan dan mereka juga telah menukar ayat-ayat Tuhan.
Penganut Kristian salah faham akan ayat-ayat Tuhan dan menganggap Jesus
anak Tuhan. Kesemuanya masuk akal dan begitu mudah difahami.
Inilah keindahan al-Quran. Ia membuat anda berfikir dan mencari jawapan,
dan tidak menyembah matahari atau bulan tetapi Tuhan yang Esa yang
telah menciptakan segala-galanya.
Apabila saya lebih banyak membaca kitab al-Quran, ia menceritakan pula
tentang sembahyang, sifat pemurah dan sifat suka berbuat baik.
Saya masih belum menjadi seorang Islam lagi, tetapi saya sudah dapat
merasakan bahawa satu-satunya jawapan untuk saya ialah al-Quran; bahawa
Tuhan telah menghantarnya kepada saya, dan saya menyimpannya sebagai
satu rahsia. Tetapi al-Quran itu juga berkata-kata pada beberapa
peringkat yang berlainan. Saya mula memahaminya pada peringkat yang lain
pula.
Al-Quran mengatakan, "Mereka yang beriman tidak menjadikan orang kafir sebagai temannya dan orang beriman itulah saudaranya."
Pada tahap itulah, timbul keinginan saya untuk bertemu dengan saudara-saudara selslam.
Melawat Jerusalem
Saya melawat Jerusalem (sepertimana yang dilakukan abang saya). Di
Jerusalem, saya masuk ke dalam masjid dan duduk. Seorang lelaki datang
menghampiri dan bertanya apa yang saya mahu. Saya beritahu dia yang saya
seorang Muslim. Dia bertanya lagi, apakah nama saya. Saya jawab,
"Stevens". Dia kelihatan keliru. Setelah itu, saya menyertai sembahyang
berjemaah, walaupun tidak begitu menjadi.
Peristiwa ini berlaku pada tahun 1977, lebih kurang satu setengah tahun selepas saya menerima al-Quran daripada abang saya.
Lantas, pada satu hari Jumaat, iaitu selepas menunaikan sembahyang
Jumaat, saya pergi bertemu imam Masjid New Regent dan melafazkan
syahadah di tangannya.
Saya telah menjadi seorang yang memiliki kemasyhuran dan kemewahan.
Tetapi saya begitu sukar mendapatkan petunjuk, walau bersungguh-sungguh
saya cuba mendapatkannya, sehinggalah saya ditunjukkan dengan al-Quran.
Sekarang saya sedar bahawa saya boleh berhubung secara langsung dengan
Tuhan, tidak perlu menggunakan perantara. Islam mengangkat semua
halangan ini.
Saya tidak pernah berjumpa orang Islam sebelum saya memeluk agama suci
ini. Saya lebih dahulu membaca al-Quran dan menyedari bahawa tidak ada
manusia yang sempurna di dunia ini.
Hanya Islam yang sempurna, dan sekiranya kita semua meniru akhlak Rasulullah s.a.w., kita akan berjaya.
Moga-moga Allah memberikan kita petunjuk dan hidayah-Nya untuk menuruti jejak langkah Rasulullah s.a.w.. Amin!
Kenapa tyqah asyik post pasal agama je ?? hehehe saja je nk menambahkn imu pengetahuan ..tyqah credit to Fateen sbb dia yg post pasal agama :)
ok ..harap korang enjoy
ReplyDelete